BANGUNAN Jabatan Pendaftaran Negara. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Jabatan Pendaftaran Negara. FOTO arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Hukuman setimpal akan dikenakan terhadap pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didapati bersekongkol dengan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid secara haram.

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman berkata, penahanan dua pegawainya baru-baru ini adalah hasil perkongsian maklumat dan risikan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Penahanan ini adalah hasil kerjasama strategik di mana JPN telah berkongsi hasil risikan dalaman yang telah dilakukan kepada SPRM, dan akhirnya membawa kepada penahanan tersebut.

"JPN akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi melengkapkan siasatan.

"JPN sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangan yang terbabit dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri secara tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro mendedahkan wujudnya sindiket menawarkan pakej menjual bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram kepada warga tempatan lengkap dengan sijil lahir dan MyKid sah dikeluarkan JPN pada harga semurah RM3,000.

Kegiatan itu yang dikesan mula aktif dilakukan sejak lebih lapan tahun lalu, semakin membimbangkan apabila ia membabitkan isu kerakyatan dan betapa mudahnya bayi 'kosong' ini mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Susulan itu, tindakan pantas diambil apabila seramai empat doktor pakar sekitar Lembah Klang diberkas sepasukan pegawai SPRM kerana disyaki berkomplot dengan sindiket jual bayi.

Dalam operasi serentak dilakukan jam 10 pagi semalam, sebanyak empat klinik dan pusat perubatan swasta diserbu sepasukan pegawai SPRM Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 4:53 PM