Ali Iqbal


Batu Pahat: Amalan membaca lapan surah setiap hari selain bangun awal pagi solat Tahajud serta duha menjadi rahsia kejayaan anak seorang petani meraih semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Fatimah Zahrah Jaafar, pelajar Sekolah Menengah Agama Jawahir (SMA) Al-Ulum, Senggarang, di sini meraih 11A dalam semua mata pelajaran diduduki sekali gus muncul pelajar terbaik sekolah itu.

Anak kepada petani, Jaafar Tarmidi, 58, manakala ibunya Noriah Daud, 46, seorang suri rumah berkata, kelapan-lapan surah itu ialah Kahfi, Sajadah, Mulk, Luqman, Dukhan, Waqih, Rahman dan Yasin wajib dibaca setiap hari untuk membolehkan dia mendapat ketenangan selain hati yang terang ketika menduduki SPM.

"Setiap malam, saya akan tidur pada jam 12 tengah malam dan bangun semula sekitar 3 atau 4 pagi untuk Tahajud.

"Ini amalan saya lakukan sebagai persediaan menduduki peperiksaan ini, alhamdulillah Allah makbulkan doa saya," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM di SMA Jawahir Al-Ulum hari ini.

Dia ditemani ibunya, dilihat menitiskan air mata sebaik namanya diumumkan sebagai satu-satunya calon mendapat 11A.

Anak ketiga daripada lima beradik berkata, sebelum ini dia hanya mensasarkan sekurang-kurangnya 5A namun tidak menyangka mampu meraih keputusan cemerlang itu.

Sementara itu, Noriah berkata, dia hanya mampu menitiskan air mata sebaik dimaklum keputusan diperoleh anaknya.

"Kejayaan Fatimah Zahrah pasti membanggakan kerana kami bukan keluarga senang. Dia memang nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya.

"Saya bersyukur pada Allah kerana doa untuk melihat kejayaan Fatimah Zahrah termakbul," katanya yang menetap di Parit Baru, Jalan Parit Botak, di sini.

Fatimah Zahrah dan ibunya menerima keputusan SPM 2023 daripada Solihin di SMA Jawahir Al-Ulum hari ini.
Fatimah Zahrah dan ibunya menerima keputusan SPM 2023 daripada Solihin di SMA Jawahir Al-Ulum hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:46 PM