Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penentuan arah kiblat yang tepat menerusi kaedah Istiwa A'dzam atau kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah pada 5.18 petang tadi, berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik.

Fenomena berkenaan berlaku dua kali setahun iaitu pada 5.18 petang tadi dan 16 Julai (5.28 petang).

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Saidul Marjuni berkata, rakyat Malaysia boleh melakukan semakan penentuan arah kiblat sendiri dengan menggunakan bayang matahari sahaja, dibantu peralatan yang mudah iaitu objek tegak seperti sebatang kayu.

"Seperti yang kita lakukan hari ini di Dewan Tun Razak di World Trade Centre (WTC), cuaca yang baik membentuk bayang dan kaedah ini adalah penentuan kiblat cara tepat.

"Ketika Matahari Istiwa di atas Kaabah, bayang-bayang objek di mana-mana tempat di bumi yang menerima cahaya matahari boleh menjadi panduan arah kiblat," katanya ketika ditemui di WTC hari ini.

Menurutnya, waktu yang sesuai adalah waktu tempatan di sesetengah negara dengan di Arab Saudi, ia berlaku pada 12.18 tengah hari dan perbezaan waktu lima jam menyebabkan di Malaysia waktu yang tepat ialah pada 5.18 petang.

"Arah kiblat adalah syarat sah solat, jadi kita menyarankan umat Islam supaya memastikan ketepatan arah kiblat di kediaman supaya ibadah lebih sempurna, yakin dan tepat.

"Kita mendedahkan ilmu falak kepada orang ramai supaya umat Islam lebih cakna dalam penentuan kiblat, waktu solat dan cerapan matahari," katanya.

PETUGAS Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan kerja semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa A’dzam pada 5.18 petang tadi di pekarangan Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
PETUGAS Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan kerja semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa A’dzam pada 5.18 petang tadi di pekarangan Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 7:02 PM