PROGRAM Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat kebangsaan 2023 dianjurkan oleh Maahad Tahfiz Ismail di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam di sini, tadi.
PROGRAM Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat kebangsaan 2023 dianjurkan oleh Maahad Tahfiz Ismail di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam di sini, tadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Shah Alam: Maahad Tahfiz Ismail (MTI) dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Selangor (PITAS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menganjurkan Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat kebangsaan 2023 tadi.

Program yang julung kali dianjurkan oleh Maahad Tahfiz Ismail (MTI) di Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini, bertujuan untuk memperkenalkan kepentingan ilmu qiraat kepada maahad tahfiz di Malaysia khususnya di Selangor.

Penganjuran itu juga bertujuan merealisasikan hasrat Dasar Tahfiz Negeri Selangor yang ingin menerapkan subjek Qiraat di seluruh Maahad Tahfiz Negeri Selangor dan memperkenalkan kaedah-kaedah Qiraat seperti qiraat Qalun dan Warasy kepada guru Al-Quran.

Selain itu, program ini juga menyediakan khidmat nasibat kepada guru dalam bidang Al-Quran dan Qiraat.

Program ini dihadiri seramai 450 peserta, terdiri daripada pelajar Maahad Tahfiz Ismail dan wakil pelajar dari Maahad Tahfiz Negeri di seluruh Malaysia.

Beberapa inisiatif program termasuklah pembentangan kertas kerja seminar oleh panel pembentang

yang mahir dalam ilmu Qiraat antaranya Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran & Al-Qiraat, Darul Quran, Al-Fadhil Syeikh Hossam Hasan Mohamed Elmihy; Ahli Jawatankuasa Literasi Al Quran Peringkat Selangor yang juga merangkap Pengetua Maahad Tahfiz Ismail, Syeikhul Maqari' Ustaz Dr. Othman Hamzah dan Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Qiraat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof menyempurnakan upacara perasmian Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat kebangsaan yang diadakan untuk kali pertama di Malaysia itu.

Turut hadir menyampaikan ucaptama ialah Syeikhul Maqari' Ustaz Dr. Othman Hamzah.

Difahamkan Maahad Tahfiz Ismail (MTI) adalah sebuah institusi pendidikan agama yang ditubuhkan

pada 16 Januari 2016 oleh Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga,Tan Sri Rozali Ismail yang terletak di Puncak Alam, Selangor.

Institusi pengajian ini fokus kepada pendidikan tahfiz Al-Quran dan menawarkan program yang bertujuan untuk

menghasilkan hafiz dan hafizah yang mempunyai kefasihan dalam membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 3:43 PM