LING menyampaikan sumbangan penyejuk udara dan kipas di wad kanak-kanak HSNI. FOTO Ali Iqbal
LING menyampaikan sumbangan penyejuk udara dan kipas di wad kanak-kanak HSNI. FOTO Ali Iqbal
Ali Iqbal


Batu Pahat: Sebanyak 20 penyejuk udara dan kipas ditambah di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) susulan masalah kekurangan kemudahan terutama penghawa dingin di wad lama itu.

Kesulitan itu bertambah lebih-lebih lagi cuaca panas ketika ini menyebabkan pesakit kanak-kanak, ibu bapa dan kakitangan perubatan berada dalam keadaan tidak selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata tambahan kemudahan itu susulan lawatan beliau ke wad kanak-kanak HSNI, akhir bulan lalu.

"Cuaca sekarang panas dan wad lama ini tidak mempunyai penghawa dingin. Selain itu, jumlah katil untuk ibu bapa berehat menemani anak-anak juga terhad.

"Atas rasa tanggungjawab untuk keselesaan semua, kita turut menyumbang 20 kerusi rehat kepada pihak hospital," katanya selepas menyampaikan sumbangan di HSNI, hari ini.

Katanya, inisiatif itu dilakukan selepas beliau sendiri melihat keadaan wad kanak-kanak itu dalam lawatan sebelum ini.

"Kami berharap ia dapat membantu pihak hospital meningkatkan keselesaan di wad, dan memudahkan ibu bapa menjaga anak berehat di atas kerusi rehat itu.

"Setakat ini terdapat tiga pengusaha bermurah hati menyampaikan hasrat mereka dengan menderma 20 set katil hospital kanak-kanak dan meja tepi berjumlah RM60,000," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng itu juga mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menyalurkan peruntukan dan fokus kepada fasiliti perubatan, komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 9:15 PM