LELAKI ditemukan meninggal dunia atas kerusi bersebelahan pokok. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI ditemukan meninggal dunia atas kerusi bersebelahan pokok. FOTO Ihsan PDRM
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia atas kerusi bersebelahan pokok di hadapan sebuah restoran di Jalan Gamelan Taman Ria Jaya, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, lelaki berusia 57 tahun ditemukan dalam keadaan bersandar dengan berpakaian lengkap oleh orang awam yang kemudian menghubungi ambulans.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asistebn Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod penyakit darah tinggi, kencing manis dan angin ahmar.

Menurutnya, hasil temubual dengan anak mangsa mendapati lelaki terbabit tidak pulang sejak jam 11 malam dan dia yang bimbang dengan keselamatan bapanya itu kemudian menghubungi telefon bimbit mangsa.

"Bagaimanapun, anak lelaki mangsa terkejut apabila panggilannya dijawab orang awam yang memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

"Anaknya mendakwa bapanya yang sudah tidak bekerja itu mendapat rawatan sejak 2011 di hospital kerana penyakit dialami serta akan keluar rumah lewat petang dan pulang sebelum jam 10 malam setiap hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, anak mangsa memberitahu bapanya pernah bekerja sebagai tukang kebun sekolah dan siasatan lanjut mendapati telefon bimbit serta barang peribadi miliknya masih berada ketika mayat mangsa ditemukan.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada mangsa.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 2:10 PM