SYAMSUL Badrin. FOTO NSTP
SYAMSUL Badrin. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mengenal pasti kira-kira sembilan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar ibu negara yang dikesan kembali aktif meskipun serbuan sudah dilaksanakan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, kebanyakan penempatan itu pernah digempur pihaknya, namun dikesan kembali 'aktif' atas pelbagai faktor.

"Ada pelbagai faktor yang mendorong penempatan ini kembali aktif termasuk kehadiran rakan warga asing di lokasi berkenaan.

"Selain itu, ada juga kawasan penempatan haram terletak di tanah milik persendirian dan kediaman milik warga tempatan yang disewa kepada warga asing," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JIM Kuala Lumpur di di sini, hari ini.

Syamsul berkata, daripada sembilan penempatan itu, ada juga kawasan penempatan haram warga asing yang dikenal pasti sebagai lokasi baharu.

"Saya tidak boleh menyatakan secara khusus lokasi penempatan itu kerana ada lokasi yang sedang dalam proses risikan dan siasatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

"Dalam kawasan penempatan warga asing, tidak semestinya kesemuanya Pati. Ada juga antara mereka yang mempunyai dokumen sah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi isu penempatan haram di ibu negara termasuk pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Pemantauan dan operasi akan terus dilaksanakan dalam usaha memastikan penempatan haram di sekitar ibu negara dapat dibanteras.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak membenarkan mana-mana Pati masuk atau tinggal di dalam premis kerana perbuatan itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka yang melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan JIM Kuala Lumpur menahan seramai 78 Pati terdiri daripada 42 lelaki, 25 wanita dan enam kanak-kanak warga Indonesia serta lima lelaki warga Bangladesh di kawasan penempatan di Segambut Dalam, di sini, Sabtu lalu.

Syamsul ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JIM Kuala Lumpur. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 2:22 PM