AHMAD Faizal hadir pada Majlis Silaturrahmi Aidilfitri DUN Gombak Setia di Padang Awam Taman Selaseh Fasa 2 Gombak. FOTO Saifullizan Tamadi
AHMAD Faizal hadir pada Majlis Silaturrahmi Aidilfitri DUN Gombak Setia di Padang Awam Taman Selaseh Fasa 2 Gombak. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Gombak: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan desas-desus Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sebaliknya berkata, tumpuan mereka ketika ini adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa.

"Kita tak ada buat SD, kita memang ada 74 kerusi. Kita istiqamah dan sedar, kita perlu jalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan itu yang akan diteruskan.

"Fokus PN hari adalah ke arah untuk cuba mengekalkan kerajaan di Terengganu, Kelantan, Kedah serta cuba mencari jalan untuk mengambil kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan khabar angin itu termasuk hantaran Facebook yang dibuat Ahli Majlis Pimpinan (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman seolah-olah bermaksud PN mempunyai 126 sokongan ahli parlimen.

Ahmad Faizal berkata, hantaran dibuat oleh Muhammad Faiz itu tiada kaitan dengan sokongan ahli parlimen kepada PN.

"Saya rasa dia tak ada cakap itu. Awak boleh semak balik dengan dia. Sebenarnya itu bukan apa yang dia maksudkan," katanya.

Beliau juga menafikan desas-desus ahli parlimen pembangkang menandatangani SD menyokong Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Perdana Menteri.

"Saya tidak fikir begitu, saya tak percaya (tandatangan SD untuk Hamzah). Kita dalam semangat Syawal hari ini tak perlulah fikir sangat.

"Lebih baik kita fokus bagi khidmat pada rakyat, eratkan silaturrahim dalam bulan Syawal, itu yang perlu kita buat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertukaran kerajaan dan pimpinan di peringkat pusat bukan sesuatu yang luar biasa kerana dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ia boleh berlaku jika sesebuah kerajaan itu dirombak atau tidak lagi memenuhi aspirasi rakyat.

"Inilah keluhan rakyat pada kali ini, apabila kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 tidak mampu selesaikan isu kos sara hidup dan ekonomi, mereka lebih banyak bercakap daripada bertindak dan seolah-olah mereka terputus daripada realiti situasi dan keluhan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 2:29 PM