MOHD Arif Akmal diberi rawatan awal. FOTO JBPM Melaka.
MOHD Arif Akmal diberi rawatan awal. FOTO JBPM Melaka.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah cedera termasuk seorang terpaksa dirawat di Hospital Melaka akibat tertusuk kaca ketika memadam kebakaran kilang perabot di kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini, hari ini.

Komander Operasi, Mohd Fazzil Yusof berkata, mangsa, Mohd Arif Akmal Zuklifli yang terkena kaca di rusuk kanannya, dilaporkan stabil.

"Sementara seorang lagi anggota mengalami kesan melecet di leher akibat ditimpa bumbung runtuh.

"Pemakaian pakaian dan kelengkapan alat pelindung diri yang lengkap oleh kedua-dua anggota berusia 22 tahun itu berjaya mengelakkan kecederaan lebih serius," katanya," katanya dihubungi di sini.

Sementara itu, Mohd Fazzil berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, kilang berkenaan terbakar 60 peratus.

Katanya, maklumat kebakaran itu diterima daripada orang awam pada jam 11.20 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dikejarkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.

"Keseluruhannya 25 anggota terbabit operasi pemadaman dengan bantuan daripada BBP Melaka Tengah, Cheng dan Ayer Keroh berserta dua lori tangki.

"Operasi terkawal jam 12.19 tengah hari dan ketika ini operasi pemadaman masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 2:02 PM