AHMAD (dua kanan), Mohd Sabri (dua kiri) dan Ahmad Razif (kiri) mengoreng roti canai empat warna pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Baharom Bakar
AHMAD (dua kanan), Mohd Sabri (dua kiri) dan Ahmad Razif (kiri) mengoreng roti canai empat warna pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Barisan Nasional (BN) negeri menafikan penggunaan dana negeri untuk membiayai Sambutan Aidilfitri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, Perikatan Nasional (PN) diminta membuktikan penggunaan dana negeri untuk penganjuran rumah terbuka bersama Perdana Menteri di enam negeri berkenaan.

Katanya, BN dan Umno negeri akan memberi kerjasama dan turut terbabit bagi memastikan program Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan diadakan di negeri ini pada 13 Mei depan berjalan lancar.

"Biasalah PN, bila kita buat dia akan tuduh pembaziran, tetapi bila dia yang anjurkan tiada isu pembaziran dibangkitkan.

"Semua kerajaan negeri termasuk Terengganu pun menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri. Kita tidak pernah mengeluarkan kenyataan pun program itu satu pembaziran," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kijal berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi; Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hing.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, tuduhan mengatakan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri, termasuk di Terengganu disifatkan sebagai keterlaluan.

Ahmad juga turut mengaitkan PN dan Pas sanggup memfitnah pemimpin Umno yang mengagihkan wang bertujuan membeli undi pada Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) lalu.

"Sedangkan, jelas dan terbukti yang mengangkat sumpah mengagihkan wang bertujuan membeli undi adalah pemimpin parti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 2:14 PM