Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tiada ada yang dapat diselamatkan apabila sebuah tadika yang berusia 33 tahun di Lorong Haji Said di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini terbakar 100 peratus, hari ini.

Pengurus Tadika Pasti Jalan Kebun, Azman Mohd Mah Husin berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian terbabit oleh pekerjanya yang tinggal berhampiran tadika berkenaan kira-kira jam 12.54 tengah hari tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di Pelabuhan Klang dan sebaik menerima panggilan dari pekerja, dia bergegas ke lokasi kejadian.

"Semasa kejadian, saya ada urusan di Pelabuhan Klang. Apabila terima panggilan terus datang ke tadika dan mendapati semua hangus dan tiada apa yang dapat diselamatkan.

"Mujur tiada orang di dalam premis ini dan ada yang mendakwa punca kebakaran ini dari surau di sebelah atas tadika ini, tetapi kita serah pada pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tadika berkenaan menempatkan kira-kira 215 kanak-kanak berumur 4, 5 dan 6 tahun yang belajar di situ.

"Sekarang kita cuti sekolah, kita masih dalam perbincangan. Mungkin apabila buka sekolah kelak... anak-anak ini akan ditempatkan di Pusat Ilmu Al-Falah di Jalan Haji Abu Bakar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.37 tengah hari.

"Kebakaran membabitkan sebuah tadika dua tingkat yang kemudiannya merebak ke kedai runcit serta rumah bersebelahan premis berkenaan.

"Siasatan mendapati, sekolah tadika berkenaan musnah 90.99 peratus manakala kediaman dan kedai bersebelahan 80 peratus musnah dalam kebakaran itu," katanya.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dibantu BBP Kota Anggerik, BBP Pelabuhan Klang dan BBP Andalas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 6:08 PM
ANGGOTA bomba ketika memadamkan api di Lorong Haji Said, Kampung Jalan Kebun, dekat sini. FOTO Ihsan Bomba/Pembaca
ANGGOTA bomba ketika memadamkan api di Lorong Haji Said, Kampung Jalan Kebun, dekat sini. FOTO Ihsan Bomba/Pembaca