ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi dilakukan JSPT Kuala Lumpur sekitar ibu kota. FOTO ihsan PDRM
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi dilakukan JSPT Kuala Lumpur sekitar ibu kota. FOTO ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 14 pengguna jalan raya ditahan selepas memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Samseng Jalanan, Op motosikal dan Op Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara bermula Jumaat lalu hingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun.

"Semua pemandu kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Bagi Operasi Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Loke Yew, polis menahan empat lelaki kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan bersaing.

"Semua mereka berusia antara 17 hingga 21 tahun dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, menerusi operasi itu, sebanyak 280 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 15 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Polis akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:33 PM