IZHAM Hashim. FOTO Bernama.
IZHAM Hashim. FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerja-kerja membaiki cerun dan jalan di laluan Batang Kali-Genting Highlands dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, peruntukkan lebih RM20 juta sudah diluluskan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bagi pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.

"Kita kena siapkan dulu tembok atau dinding penahan dan teknologi diguna pakai adalah sesuai dengan kawasan itu yang sempit selain ia bertahan lebih baik.

"Kontraktor sudah kita lantik untuk melaksanakan kerja-kerja (cerun) itu termasuk jalan. Perlukan masa 10 bulan dan dijangka pertengahan tahun depan sudah boleh digunakan jalan itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Izham merasmikan penutupan bengkel kajian semula pelan pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang dan majlis berbuka puasa di Double Tree by Hilton Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna diminta terus menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan dikeluarkan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai paras empangan dan sungai di Selangor susulan negara kini sedang berdepan dengan cuaca panas, Izham berkata, paras empangan dan sungai masih keadaan terkawal.

Katanya, jumlah hujan yang diterima Selangor setakat ini juga mencukupi.

"Setakat ini paras empangan, simpanan air di luar sungai kita masih penuh selain sungai juga masih terurus, tiada isu (bekalan air) di Selangor)," katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai untuk berjimat cermat dalam penggunaan air memandangkan rakyat Selangor menggunakan jumlah air yang lebih tinggi sebanyak 220 liter sehari berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 170 liter.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini memaklumkan semua negeri di Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 8:46 PM