SALAHUDDIN Ayub. FOTO Arkib NSTP.
SALAHUDDIN Ayub. FOTO Arkib NSTP.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Parti Amanah Negara (Amanah) berpendirian untuk tidak masuk campur berhubung tindakan permintaan pengampunan penuh untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau berpandangan ada dua bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang mana rakyat tidak boleh campur tangan iaitu pengampunan dan penganugerahan darjah kebesaran.

"Saya rasa ada dua bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong yang kita tidak boleh campur tangan pertama dari segi pengampunan walaupun ada majlisnya (Lembaga Pengampunan) tetapi kata putus itu adalah hak Baginda.

"Jadi apa pun isu yang berkaitan dengan Datuk Seri Najib saya rasa kita serahkan kepada budi bicara Baginda. Dua perkara (pengampunan dan darjah kebesaran) yang memang hak mutlak Baginda. Jadi biarlah kita serahkan kepada kebijaksanaan Baginda," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lalu, Najib gagal memperoleh kebenaran menyemak hukuman dan sabitan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:06 PM