DATUK Mohd Amran. FOTO Facebook Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia - JKSM
DATUK Mohd Amran. FOTO Facebook Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia - JKSM
Samadi Ahmad


Putrajaya: Datuk Mohd Amran Mat Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuat kuasa hari ini

.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Mohd Amran berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian), Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang LLM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta Diploma Lepasan Ijazah (Pentadbiran dan Perundangan Islam), UIAM.

"Mohd Amran mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah apabila mula menyertai perkhidmatan awam sejak tahun 1994.

"Beliau memulakan tugas sebagai Pegawai Syariah di Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan, selain pernah bertugas sebagai Pendaftar di JKSM dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Mohd Amran diberikan amanah sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM, Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Ketua Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan jawatan terakhir beliau di JKSM sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Mohd Na'im berkata, sepanjang perkhidmatan, beliau pernah mengikuti kursus jangka pendek di The Muslim College of London.

Menurutnya, berdasarkanpengalaman luas serta kelayakan yang dimiliki, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin dengan kewibawaan beliau untuk menerajui JKSM dalam usaha meneruskan kecemerlangan jabatan.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengucapkan tahniah dan berharap Mohd Amran dapat menjalankan amanah dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 9:48 PM