ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dihanyutkan arus. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dihanyutkan arus. FOTO ihsan bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pekerja kontrak ditemukan lemas di Sungai Lereh, Tanjung Kling, di sini, selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan jorannya yang dihanyutkan arus, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat R Krishnan Murthi, 30, ditemukan pasukan bomba jam 2 pagi tadi kira-kira enam meter dari tebing sungai yang terletak di tepi rumahnya.

Beliau berkata, laporan dibuat abang mangsa jam 9.40 malam di Balai Polis Batang Tiga memaklumkan Krishnan Murthi hilang ketika berenang ke tengah sungai untuk menyelamatkan jorannya yang hanyut.

"Siasatan awal mendapati keadaan air sungai sedang pasang dan operasi pencarian mangsa dijalankan polis dengan bantuan pasukan bomba.

"Mayatnya ditemukan semasa bomba membuat suluhan ke sungai yang surut dalam keadaan tertiarap.

"Jarak mayat dijumpai kira-kira enam meter dari tebing sungai tempat dia mula-mula turun ke sungai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Christopher berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Seri Tanjung dan mayat diserahkan kepada polis.

"Keadaan mayat semasa dibawa naik ke darat adalah dalam keadaan penuh berlumpur dan ada sedikit kesan berdarah di dahi berkemungkinan kesan geseran batu atau objek keras di dalam sungai," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Mohd Fazzil Yusof berkata, tujuh anggota termasuk tiga dari Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Melaka Tengah.

"Mayat ditemui tepat jam 2 pagi melalui kaedah pencarian di permukaan dan dasar sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 3:01 PM