Mohd Jamalilah Mohd Riskhan dilaporkan hilang sejak 15 Mac lalu selepas keluar dari rumahnya di Taman Bukit Rambai.- FOTO ihsan Melaka Tengah.
Mohd Jamalilah Mohd Riskhan dilaporkan hilang sejak 15 Mac lalu selepas keluar dari rumahnya di Taman Bukit Rambai.- FOTO ihsan Melaka Tengah.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis Daerah Melaka Tengah memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak tiga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa (pengadu) pada 20 Mac lalu, jam 1.59 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan laporan, pengadu menyatakan anaknya yang dikenali sebagai Mohd Jamalilah Mohd Riskhan, 36, keluar dari rumah mereka di No 14 E/F Loring 6, Jalan Perawan Taman Bukit Rambai, pada 15 Mac lalu, kira-kira 8 pagi tanpa pengetahuannya.

"Pengadu ada menghubungi keluarganya dan keluarga mentua untuk bertanyakan anaknya yang juga pemegang kad OKU kategori masalah pembelajaran (lembam) dan pertuturan tidak jelas, namun mereka tidak mengetahui di mana dia berada.

"Pengadu turut mencari di sekitar taman serta bertanya kepada penduduk, namun hampa menyebabkan dia bimbang keselamatan anaknya," katanya dalam kenyataan di sini.

Christopher berkata, anak pengadu tidak memiliki telefon bimbit untuk dihubungi dan dikatakan memakai seluar pendek kelabu dan baju-T berwarna kuning.

"Rambutnya hitam pendek, kulit hitam manis, badan gempal dan berjambang dengan anggaran ketinggian 157 sentimeter.

"Pengadu juga menyatakan anaknya sebelum ini kerap keluar rumah, namun akan pulang semula," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Mohd Jamalilah diminta menghubungi Sarjan Mejar Abd Ghani di talian 013-9775519 atau Balai Polis Batang Tiga di talian 06-3152222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 8:48 AM