Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Tiga negeri iaitu Kedah, Kuala Lumpur dan Perak yang mencatatkan penurunan Tanah Rizab Melayu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar.

"Manakala Kuala Lumpur daripada 1,003.56 hektar kepada 999.48 hektar dan Perak daripada 953,042.67 hektar kepada 953,040.87 hektar.

"Negeri-negeri lain semua mencatat peningkatan termasuklah jumlah besar Tanah Rizab Melayu di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan bagi jawab lisan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang menyatakan berapa jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan apakah rancangan kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

NIK Nazmi Nik Ahmad. FOTO Bernama.
NIK Nazmi Nik Ahmad. FOTO Bernama.

Nik Nazmi berkata, pada masa ini, keluasan kawasan pewartaan Tanah Rizab Melayu sehingga 31 Disember 2022 adalah 4,996,406.42 hektar.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.67 peratus berbanding 4,963,190.80 hektar pada tahun 2021.

Beliau berkata, bagi pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu di negeri, ia direkodkan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing.

"Ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi Tanah Simpanan Melayu yang tidak akan berkurangan keluasannya apabila berlakunya pembatalan, pihak berkuasa negeri hendaklah menggantikan keluasan kawasan yang telah dibatalkan dengan tanah-tanah lain yang sama jenis dan luasnya sebagai Tanah Simpanan Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:54 AM