Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Permintaan terhadap kuih 'akok D' Risda' di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang Ramadan kali ini agak luar biasa sehingga terjual 3,000 biji sehari sejak 1 Ramadan.

Malah, tahun ini kuih tradisional itu kembali naik kapal terbang seminggu sekali untuk ke Sabah dan Sarawak, berbanding beberapa tahun lalu ke Lembah Klang.

Meskipun harga akok terpaksa dinaikkan kepada RM7 berbanding RM6 tahun lalu, namun sambutan tetap luar biasa memandangkan pelanggan memahami kos bahan mentah yang semakin meningkat.

Pengurusnya, Alif Ezwan Zakaria, 30, bersyukur sambutan akok yang diusahakan beliau dan ahli keluarga sentiasa mendapat sambutan saban tahun.

Katanya, sambutan kali ini agak luar biasa selepas dua tahun berdepan Covid-19 dan ribuan akok berjaya dijual dalam tempoh lima hingga enam jam sahaja di dua premis.

"Selain kedai di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, kita mempunyai satu lagi kedai di Berek 12, Kota Bharu. Alhamdulillah jualan harian akok mampu mencecah 3,000 biji sehari.

"Malah kita juga cukup gembira apabila setiap minggu akok kami diterbangkan ke Sabah dan Sarawak. Ia bermula apabila ada peniaga dari Kelantan ke Sabah dan Sarawak setiap minggu untuk menghantar barang niaga.

"Secara kebetulan ramai penduduk di sana juga menempah supaya membawa akok D'Risda. Sebanyak 40 hingga 50 biji akan dibawa setiap minggu," katanya ketika ditemui di premisnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, selain diterbangkan ke Sabah dan Sarawak, akok D'Risda juga dibawa ke Terengganu setiap hari sebanyak 100 hingga 200 biji.

ALIF(kiri) bersama Lidyawati menunjukkan kuih Akok Bunga tradisional yang siap dibakar sepauntuk dijual. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALIF(kiri) bersama Lidyawati menunjukkan kuih Akok Bunga tradisional yang siap dibakar sepauntuk dijual. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Boleh dikatakan setiap tahun akok kami dijual di Terengganu. Namun konsep yang kami amalkan adalah harga yang dijual tetap sama walaupun ada peniaga membeli dengan kuantiti yang banyak.

"Pendekatan ini bagi memastikan menjaga harga dan tiada harga berbeza walaupun untuk pemborong.

"Antara tarikan akok D'Risda adalah ia hanya boleh dinikmati pada bulan Ramadan sahaja, manakala pada bulan lain kita hanya menjual nasi campur dan masakan panas," katanya yang mempunyai 50 pekerja di dua premis.

Ditanya berhubung kenaikan harga saban tahun itu, Alif Ezwan berkata, ia terpaksa dinaikkan susulan harga bahan mentah juga meningkat terutama telur ayam.

"Untuk menghasilkan kuih akok, kita menggunakan telur gred AA dan jika tahun lalu harga sepapan telur RM15, namun kini meningkat kepada RM18.50 hingga RM19.

"Itu belum lagi dikira barangan lain. Namun ramai di kalangan pelanggan memahami dengan kenaikan harga itu.

"Buat masa ini, kita hanya berharap bekalan telur tidak terputus yang boleh menyebabkan jualan akok terjejas. Setakat ini bekalan telur diambil dari pemborong di Kota Bharu dan setiap hari kita memerlukan 150 papan telur sehari hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 11:47 AM