TAPAK kaki harimau belang berhampiran bangkai lembu yang ditemui di kawasan berhampiran ladang sawit di Kampung Merbau Menyusut. FOTO Zaid Salim
TAPAK kaki harimau belang berhampiran bangkai lembu yang ditemui di kawasan berhampiran ladang sawit di Kampung Merbau Menyusut. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Penduduk Kampung Merbau Menyusut, Setiu diingatkan tidak melakukan aktiviti di kawasan berhampiran hutan bagi mengelak diserang harimau belang yang dipercayai masih berkeliaran di situ.

Kehadiran haiwan liar berkenaan di kawasan kampung itu dikesan selepas seorang penternak mendakwa lima lembu peliharaannya hilang dikhuatiri menjadi mangsa haiwan berkenaan susulan penemuan tapak kaki haiwan terbabit berhampiran bangkai seekor daripada lima lembu peliharaannya yang hilang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Seong berkata, siasatan awal mendapati harimau terbabit dipercayai datang dari kawasan hutan simpan Hulu Nerus yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

"Buat masa ini, kita masih membuat pemantauan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, seorang penternak mendakwa kerugian hampir RM13,000 apabila lima lembu peliharaannya untuk tujuan korban Hari Raya Haji hilang.

Seekor ditemui dalam keadaan bangkai, manakala seekor lagi ditemui masih bernyawa dan penternak mengambil tindakan menyembelih haiwan terbabit.

Kehilangan haiwan peliharaannya itu disedari sejak kelmarin dan penternak mendakwa terserempak dengan anak harimau belang di kawasan ladang sawit pagi semalam ketika mencari lembu yang hilang di kawasan ladang sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 5:05 PM