Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bukan bergelandangan di jirat Cina tetapi seorang wanita dipercayai menjadikan lokasi berkenaan di Bandar Baru Air Itam, Ayer Itam di sini, sebagai tempat bagi menyimpan barangan lusuh yang dipungutnya.

Kelmarin, seorang individu memuatnaik foto mengenainya di media sosial dan mendakwa wanita berkenaan tinggal tinggal bersendirian di jirat itu serta berharap supaya dia dibantu dengan sewajarnya.

Namun, menerusi rakaman video yang dikongsi seorang individu lain hari ini, wanita berkenaan yang dianggarkan berusia 50-an itu mendakwa sering datang ke lokasi berkenaan sejak dua bulan lalu.

Katanya, dia yang dahulunya tinggal di Butterworth kini tinggal di kediaman kakaknya di Jalan Datuk Keramat di sini, selepas berpisah dengan suami.

"Ada kalanya saya duduk di kedai kopi dan ada orang bagi makan, kalau orang tak bagi (makan) saya guna duit sendiri.

"Saya duduk di sini (kawasan jirat Cina) tak pernah ada orang kacau (ganggu)," katanya yang turut mendakwa tidak berani bermalam di lokasi terbabit.

Tapak perkuburan Cina di Bandar Baru Air Itam, Ayer Itam, di sini, yang dipercayai dijadikan tempat bagi menyimpan barangan lusuh oleh seorang wanita. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Tapak perkuburan Cina di Bandar Baru Air Itam, Ayer Itam, di sini, yang dipercayai dijadikan tempat bagi menyimpan barangan lusuh oleh seorang wanita. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Semalam, Harian Metro turut mengadakan tinjauan dan mendapati wanita berkenaan tiada di kawasan itu dan beberapa pegawai dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut, turut tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, menerusi maklumat daripada penghuni sekitar kepada pegawai berkenaan, didapati wanita terbabit tidak kelihatan di lokasi berkenaan sejak dua hari lalu.

Katanya, tinjauan semula pada petang semalam turut tidak menemukan wanita berkenaan dan tiada tindakan dilakukan.

"Pegawai berkaitan sudah merujuk kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membersihkan kawasan itu.

"Lokasi berkenaan adalah kawasan persendirian dan penceroboh boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Tinjauan semula ke lokasi berkenaan hari ini mendapati, kawasan itu belum lagi dibersihkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 3:46 PM