Mohamed Farid Noh


Batu Pahat: Satu keluarga di Kampung Parit Warijo, Sri Medan di sini, hiba apabila semua barangan kelengkapan sekolah termasuk pakaian sekolah, buku teks dan beg, musnah akibat bah besar.

Siti Suriati Ahmad Razali, 41, meninjau kediamannya yang masih ditenggelami bah sejak 1 Mac lalu, hanya mampu mengalirkan air mata apabila melihat hampir keseluruhan barangan keluarga musnah berendam air.

Katanya, dia dan penduduk kampung tidak menyangka banjir kali ini lebih buruk dari bah besar pada 2006 sehingga memusnahkan harta benda yang sudah lama dikumpul.

"Sedih melihatkan kebanyakan barangan termasuk baju, kelengkapan dan beg sekolah masih berendam dengan air bah.

"Barang semua kami sudah simpan di tempat tinggi iaitu paras lebih daripada pinggang kerana banjir sebelum ini tidak lebih paras pinggang.

"Namun, bah kali ini lebih buruk apabila melepasi paras dada dan hampir ke kepala, menyebabkan kesemua barangan terutama kelengkapan sekolah terutama baju, kasut, buku teks dan beg empat anak yang bersekolah musnah ditenggelami air banjir.

"Bagaimanapun, guru-guru sekolah anak semuanya memahami dan memaklumkan jangan susah hati dan gunakan apa yang ada apabila sekolah dibuka minggu hadapan," katanya ketika ditemui.

Bah yang melanda Johor sejak 1 Mac lalu disifatkan antara bencana banjir terburuk pernah dialami negeri itu selepas bah besar pada 2006.

Angka terkini mangsa terjejas bah di negeri ini membabitkan 38,456 penduduk daripada 10,711 keluarga di 121 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas.

Batu Pahat merekodkan angka mangsa banjir terbesar apabila ia melonjak ke 37,717 daripada 10,495 keluarga di 109 PPS.

Dalam pada itu, anak Suriati yang juga pelajar tingkatan lima, Siti Nurhidayah, 17, hiba dan sebak apabila melihat semua kelengkapan sekolahnya masih terendam dalam bah yang menenggelamkan kediaman keluarganya.

"Bukan setakat semua kelengkapan sekolah musnah, paling sedih apabila kesemua sijil yang berjaya saya peroleh termasuk Sijil Darjah Khas selain kejayaan peringkat negeri dan kebangsaan turut rosak.

"Nak dapatkan semua sijil itu pun bukannya senang, saya sangat sedih dan ralat.

"Harap saya akan dapat salinan sijil-sijil itu daripada pihak berkenaan kerana ia sebagai kenangan berharga atas usaha saya dan dorongan ibu bapa serta guru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 1:55 PM