DATUK Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (empat dari kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Nga Kor Ming.
DATUK Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (empat dari kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Nga Kor Ming.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengekalkan penarafan lima bintang sekali gus dinobat pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik sempena Majlis Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023.

Anugerah itu disampaikan sendiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di Perak, semalam.

MBPJ dalam kenyataan hari ini berkata, mereka antara 155 PBT yang dinilai dan berjaya meraih markah tertinggi iaitu 98.32 peratus.

"MBPJ dinobatkan sebagai PBT terbaik Malaysia bagi Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2022.

"MBPJ memperoleh penilaian tertinggi bagi tiga kriteria membabitkan perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan penduduk serta pandangan penduduk," menurut kenyataan hari ini.

MBPJ berkata, konvensyen bertemakan Perbandaran Madani, Negara Sejahtera itu dihadiri hampir 2,000 peserta terdiri daripada datuk bandar, yang dipertua, setiausaha, dan pegawai PBT seluruh negara.

Konvensyen berkenaan adalah platform terbaik bagi peserta berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pendapat bagi mencari penyelesaian berhubung isu berkaitan.

Sementara itu, MBPJ juga diberikan penghormatan untuk membentangkan rangka tindakan Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient (PJSSR) 2030 : A New Paradigm yang dibentangkan Timbalan Datuk Bandar, Sharipah Marhaini Syed Ali.

"Sambutan peserta terhadap pameran dan pembentangan PJSS 2030 sebagai inovasi baru dalam transformasi institusi dan tadbir urus PBT amat menggalakkan.

"MBPJ bersedia berkongsi pengalaman kepada semua PBT di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:57 PM