SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Bernama
SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam saja yang boleh diberikan tauliah mengajar atau ceramah di masjid atau surau di seluruh negeri ini.

Menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, baginda menyeru umat Islam di negeri ini agar memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat bertajuk 'Tauliah Mengajar; Suatu Keperluan' yang dibacakan oleh khatib di masjid seluruh Selangor, hari ini.

Memetik antara isi penting khutbah, baginda menegaskan bahawa keperluan Tauliah Mengajar bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

"Justeru, bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan.

"Baginda juga senada dengan khatib yang menyeru agar semua pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) perlu sentiasa mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan serta perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemegang tauliah juga perlu menggunakannya pada situasi yang betul, bukan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Mereka diingatkan agar tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu disampaikan, yang akhirnya menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya tetapi bukan kepada ilmunya.

"Baginda turut berpesan kepada pemegang tauliah supaya tidak mencampur adukkan isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam, atau menyelitkan apa-apa perkara yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama, atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana kerajaan, atau mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di negara ini.

"Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor seperti yang termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, baginda mempunyai kuasa menitahkan agar tauliah terhadap mana-mana pihak ditarik balik atas sebab-sebab tertentu demi memelihara kesucian agama Islam dan mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016, seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar justeru, baginda mengingatkan kepada sesiapa yang ingin berbuat sedemikian, perlu membuat permohonan (tauliah mengajar).

Katanya, pemohon akan melalui beberapa proses tapisan iaitu ujian penilaian fardu ain serta ujian nilai dan sekiranya lulus, pemohon akan dipanggil temu duga, seterusnya diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

"Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerap menerima aduan bahawa masih terdapat masjid atau surau yang mengundang penceramah tanpa tauliah. Malah penceramah yang tidak mempunyai tauliah pun tahu keperluan mendapatkan tauliah di negeri ini masih terus mencuba memberi ceramah di masjid dan surau tanpa tauliah.

"Apabila kebenaran ceramah di masjid dan surau tidak diberikan atas alasan tiada mempunyai tauliah, pihak berkuasa agama dipersalahkan dan diperlekehkan kononnya menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan di masjid dan surau," tulis kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 5:54 PM