Siti Rohana Idris

Tumpat: "Walaupun dalam banjir baru-baru ini, perkakas elektrik banyak yang rosak tetapi dengan sumbangan periuk nasi elektrik dan kipas angin ini sudah memadai," kata mangsa banjir dari Kampung Jal Besar, Zulkifli Mustapha.

Zulkifli, 53, antara 150 penerima bantuan dua barangan elektrik itu yang disumbangkan oleh Islamic Relief Malaysia kepada mangsa yang terjejas banjir di Kampung Jal Besar pada Disember lalu.

Menurutnya, sentiasa ada kelengkapan rumah yang rosak setiap kali banjir kerana tidak sempat diselamatkan.

"Contohnya banjir baru-baru ini, dua almari pakaian dan mesin basuh rosak kerana air yang datang, melimpah dengan cepat.

"Pada ketika itu kami sedang mengalihkan barangan lain dan sedar tak sedar, paras air semakin tinggi menyebabkan kami hanya menyelamatkan barangan yang penting sahaja," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Majlis agihan dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kajang Sebidang/Teluk Jering yang diwakili pengerusinya, Mohamad Raduan Mohamad.

MOHAMAD Raduan Mohamad (kiri) menyampaikan periuk nasi elektrik dan kipas angin kepada 150 mangsa banjir di Kampung Jal Besar di sini. FOTO Siti Rohana idris
MOHAMAD Raduan Mohamad (kiri) menyampaikan periuk nasi elektrik dan kipas angin kepada 150 mangsa banjir di Kampung Jal Besar di sini. FOTO Siti Rohana idris

Sementara itu, Pegawai Kanan Bahagian Program Islamic Relief Malaysia, Muhammad Izzat Roslan berkata, sumbangan itu diberikan sebagai tanda prihatin pihaknya dalam usaha meringankan beban mangsa banjir.

Menurutnya lagi, sebelum ini bantuan dalam bentuk baucar juga diberikan kepada 150 mangsa banjir di Kampung Chenderong Kubu di sini, dan barangan elektrik serta makanan kering kepada 100 mangsa di Pasir Mas.

"Kami juga baru selesai mengagihkan bantuan makanan serta perubatan kepada mangsa banjir di Segamat, Johor dan berharap akan dapat terus membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi penerima, Siti Kasidah Yaakob, 28, berkata, kehilangan beberapa peralatan rumah akibat banjir sedikit hilang apabila digantikan dengan dua unit barangan elektrik baharu.

Dia yang menetap bersama ibu bapa dan tiga adik beradik lain di sini berkata, bantuan itu sangat membantu mereka sekeluarga yang sering mengalami kerugian setiap kali banjir melanda.

"Situasi banjir tidak menentu iaitu ada masanya tidak serius dan kami sempat menyelamatkan barangan tapi ada juga yang datang secara mengejut dan paras airnya juga tinggi dan itu yang menyebabkan banyak kemusnahan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 1:11 PM