Noorazura Abdul Rahman


Sik: Terbakar atau sengaja dibakar. Itu fokus siasatan polis susulan penemuan beg berisi daun ketum dalam sebuah kereta yang dilaporkan terbabas sebelum terbakar di Jalan Kampung Tala, Jeneri di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata dalam kejadian jam 5.30 pagi itu kereta Proton Saga yang dipercayai dipandu seorang lelaki itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbakar.

Katanya, penduduk yang menyedari kejadian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Sik untuk tindakan selanjutnya.

"Selepas api dipadamkan, pemeriksaan di bahagian ruang belakang kereta menjumpai beg plastik yang terbakar berisi daun ketum.

"Siasatan polis turut mendapati pemandu kereta terbabit melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, pihaknya masih menunggu laporan Unit Forensik Bomba dan polis bagi mengetahui bagaimana kenderaan itu boleh terbakar.

"Usaha kini sedang dilakukan bagi mengesan pemilik kenderaan terbabit melalui nombor pendaftaran kenderaan yang dikesan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 12:48 PM
Kereta Proton Saga yang terbakar dalam kemalangan di Empangan Jajar di Kampung Tala, Jeneri. FOTO Ihsan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM)
Kereta Proton Saga yang terbakar dalam kemalangan di Empangan Jajar di Kampung Tala, Jeneri. FOTO Ihsan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM)