Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan negara sentiasa meningkatkan usaha dalam memperkukuh serta memperkasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kawasan pesisir pantai timur Sabah sentiasa terdedah dengan ancaman keselamatan.

Katanya, ia termasuk tuntutan Filipina terhadap Sabah, penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), jenayah serantau dan penculikan untuk tebusan yang dilihat bukan ancaman baharu.

"PDRM melalui Esscom dan pasukan keselamatan Sabah diberikan tanggungjawab melindungi keselamatan Esszone daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan.

"Walaupun sekarang agak tenang dan terkawal, namun ini tidak bermakna kita melonggarkan langkah keselamatan yang sudah disusun atur selama 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Acryl Sani berkata, PDRM tidak boleh bersikap sambil lewa dan sebaliknya perlu memberitahu kepada pihak luar bahawa aspek keselamatan negara pada tahap tertinggi.

Katanya, kita tidak akan berkompromi serta bertolak ansur kepada sebarang jenayah rentas sempadan.

"Beberapa langkah sudah dan sedang dilaksanakan termasuk penambahan dua Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Batalion 21 Keningau serta Batalion 22 Kunak dan seterusnya menjadikan Sabah mempunyai tujuh batalion PGA.

"PDRM juga sedang dalam perancangan meningkatkan keupayaan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi memastikan ancaman yang datang dari arah laut dapat dikurangkan.

"Kita juga mengambil kira faktor perkembangan infrastruktur seiring dengan pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur yang dilihat memberi impak terhadap situasi keselamatan di kawasan sempadan," katanya.

ACRYL Sani pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Auditorium, IPK Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
ACRYL Sani pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Auditorium, IPK Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin

Sementara itu, mengulas berkaitan kes kehilangan seorang lelaki berusia 31 tahun di Kampung Perigi, Semporna, Rabu lalu, Acryl Sani berkata, setakat ini siasatan tidak berkaitan dengan isu penculikan.

"Berdasarkan risikan yang dijalankan, kes terbabit tidak terkesan dengan jenayah penculikan berikutan tiada unsur permintaan wang tebusan yang diterima daripada mana-mana pihak.

"Sudut lain termasuk kes ceti haram juga tidak terbabit kerana polis tidak mengesan sebarang maklumat atau sejarah peminjaman daripada mangsa.

"Begitu juga dengan kehidupan peribadi mangsa yang tidak terkesan dengan sebarang isu yang menjurus kepada masalah peribadi," katanya.

Acryl Sani berkata, mangsa juga tidak terbabit dengan sebarang urus niaga mencurigakan berikutan mangsa bekerja sebagai penyelia di kedai emas milik sepupunya.

Katanya, mangsa dilaporkan menghilangkan diri dengan keluar dari rumah sebelum menaiki kereta sewa dengan nombor kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

"Berdasarkan kepada penelitian siasatan, setakat ini polis mengklasifikasikan sebagai kes orang hilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:15 PM