Khairulmizan Yahya

Kuantan: "Kami sedikit terkilan apabila tiada bantuan untuk golongan nelayan dalam belanjawan kali ini, sedangkan kami juga terkesan setiap kali musim tengkujuh."

Itu luahan nelayan pantai apabila tiada bantuan diperuntukkan kepada mereka pada pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Dalam pembentangan belanjawan pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM3,200 untuk pekebun kecil getah dan RM600 bagi pesawah, namun tiada bantuan khusus untuk nelayan.

Nelayan pantai, Abdul Aziz Razali, 53, dari Beserah, di sini, berkata, mereka hilang punca pendapatan setiap kali musim tengkujuh dan hanya berharap Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan untuk perbelanjaan harian.

"Kenaikan mendadak harga peralatan menangkap ikan serta minyak 2T untuk kegunaan enjin sangkut selepas pandemik Covid-19 juga membebankan golongan nelayan pantai ketika ini.

"Jadi, kami berharap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dapat berjumpa dengan Perdana Menteri dan memohon bajet tambahan, kalau boleh bantuan 'one-off' untuk golongan nelayan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rakannya, Ramli Mohamad, 55, berkata, sepanjang musim tengkujuh, dia terpaksa menggunakan duit simpanannya untuk perbelanjaan harian selain dari wang ESHN.

"Saya hairan kenapa nelayan tidak termasuk dalam senarai menerima bantuan kerana sebelum ini kami tidak pernah dipinggirkan," katanya.

Seorang lagi nelayan, Wan Abdul Jamaludin Wan Mohd, 53, berkata, golongan nelayan sangat memerlukan bantuan daripada kerajaan kerana elaun diterima tidak mencukupi.

" Saya mempunyai dua anak masih bersekolah, jadi keadaan semakin sukar apabila persekolahan akan bermula, selain Ramadan bakal menjelma.

"Jika cuaca masih tidak baik memang susah kerana itu sahaja punca pendapatan kami," katanya sambil menambah terpaksa berhutang dengan kedai runcit untuk memberi barangan dapur kerana ketiadaan wang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 2:24 PM
ABDUL Aziz tidak dapat turun ke laut berikutan cuaca dan ombak yang tidak menentu ketika di temui di Kampung Pantai Beserah. FOTO Farizul Hafiz Awang
ABDUL Aziz tidak dapat turun ke laut berikutan cuaca dan ombak yang tidak menentu ketika di temui di Kampung Pantai Beserah. FOTO Farizul Hafiz Awang