Ahmad Johari Mohd Ali


Putrajaya: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding semakan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd hari ini menegaskan Mahkamah Persekutuan gagal menimbangkan 94 alasan dalam penghakimannya ketika menolak rayuan akhir bekas perdana menteri itu tahun lalu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak diberi peluang untuk menghujahkan 94 alasan rayuan dikemukakan Najib, sekali gus penghakiman rayuan akhir pada 23 Ogos tahun lalu dibuat hanya berdasarkan hujahan sebelah pihak sahaja.

Rayuan akhir Najib tidak pernah didengar panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan ia menyebabkan ketidakadilan kepada anak guamnya.

"Hisyam tidak pernah menolak untuk berhujah tetapi beliau memerlukan masa tetapi mahkamah tidak benarkan penangguhan. Kemudian beliau mahu menarik diri tetapi mahkamah mengarahkannya kekal mewakili Najib.

"Apa yang didengar ketika itu hanya permohonan. Ada beberapa permohonan dan satu daripadanya ialah permohonan berhubung hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, itu sahaja.

"Sebaliknya, mahkamah menjemput pendakwaan untuk berhujah dan ini adalah satu kesilapan besar. Kesalahan pertama adalah apabila peguam tidak mengemukakan hujahan, yang kedua dengan meneruskan prosiding dan membuat keputusan berdasarkan hujahan pendakwaan sahaja," katanya.

Muhammad Shafee berkata demikian dalam hujahan permohonan semakan kes SRC dalam usaha Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terbabit terhadap Najib selepas mendapati sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan, selain memutuskan pembelaannya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata walaupun tanpa hujahan daripada peguam, rayuan Najib tidak boleh dipandang ringan termasuk alasan rayuan yang dikemukakan serta hujahan yang dibuat mahkamah terdahulu.

"Apabila anak guam melalui peguamnya enggan untuk berhujah, adakah wajar bagi mahkamah untuk hanya bergantung kepada hujahan pihak lawan sehingga menggunakannya untuk merangka kes terhadap pemohon (Najib).

"Penghakiman (panel hakim Mahkamah Persekutuan) tidak ubah seperti satu rumusan tanpa sebarang alasan (sokongan). Tiada dalam penghakiman itu yang menunjukkan bahawa alasan rayuan atau hujahan di mahkamah terdahulu diambil kira.

"Sebaliknya, hujahan pihak pendakwaan dirujuk dalam penghakiman, setidaknya berhubung mens rea (niat). Selain itu, tiada mana-mana bahagian dalam penghakiman menunjukkan alasan rayuan atau hujahan perayu diambil kira," katanya.

MUHAMMAD Shafee hadir di Istana Kehakiman hari ini bagi mewakili Najib. FOTO Bernama.
MUHAMMAD Shafee hadir di Istana Kehakiman hari ini bagi mewakili Najib. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 7:36 PM