Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak terlalu gopoh dan agresif dalam menggunakan kuasanya membanteras rasuah, kerana berisiko melakukan pendakwaan terpilih yang menjadikan parti lawan sebagai mangsa.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengakui bimbang selepas melihat seorang demi seorang ahli parlimen dan pembangkang serta bekas pemimpin yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa lain, serta ada yang dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan itu, Hassan memberi peringatan kepada Anwar supaya berhati-hati menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri, apatah lagi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menjawat jawatan Menteri Kewangan.

"Hari ini, Yang Berhormat (YB) Tasek Gelugor diheret ke mahkamah di bawah pertuduhan rasuah. Beberapa hari lalu, YB Pagoh disiasat SPRM, dan mantan Menteri Kewangan sewaktu Perdana Menteri keempat juga disiasat berkaitan 'Pandora Papers'.

"Saya tiada masalah jika daripada segi perundangan kerana ini proses biasa dan agensi siasatan seperti SPRM memanggil kalau ada perkara berkaitan, tapi saya perlu nyatakan kita perlu berhati-hati.

"Sekarang kita boleh panggil semua menteri, mantan menteri kerana kita ada kuasa. SPRM, polis di bawah kita. Saya bimbang jika tak diberi peringatan, boleh berlaku pendakwaan terpilih, parti lawan kita jadi mangsa," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) didakwa di mahkamah hari ini, atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada syarikat yang menerima kontrak projek Jana Wibawa, namun Ketua Penerangan Bersatu itu mengaku tidak bersalah.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berhubung siasatan projek Jana Wibawa, selain seorang bekas Menteri Kewangan dan anak bekas Perdana Menteri pula diambil keterangan oleh SPRM dalam siasatan berkait pendedahan Pandora Papers.

Mengulas lanjut, Hassan yakin dengan integriti dan kesungguhan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk membanteras rasuah, namun beliau mengingatkan Perdana Menteri berkaitan kesan buruk pemusatan kuasa pada seorang individu.

Kata Hassan, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu menjadi peringatan buat Anwar berkaitan risiko apabila seorang Perdana Menteri turut menjawat jawatan Menteri Kewangan.

"Saya tidak ada mala fide atau niat tak baik, hanya untuk mengingatkan kuasa cenderung menyebabkan korupsi. 'Absolute power corrupt absolutely'. Kuasa itu mesti digunakan dengan cermat, jangan terburu-buru.

"Saya tidak mahu berlaku lagi peristiwa 1MDB, yang mana Perdana Menteri ketika itu juga menjadi Menteri Kewangan. Kita lihat apa kesannya sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 4:15 PM