JOHARI Abdul Ghani. FOTO Arkib NSTP.
JOHARI Abdul Ghani. FOTO Arkib NSTP.

Kuala Lumpur: Peningkatan hutang negara tidak boleh diambil mudah memandangkan pendapatan hasil petroleum tidak boleh dijadikan pergantungan mengekalkan ekonomi.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia bernasib baik kerana kerajaan mampu bergantung kepada sumbangan Petronas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Itu sebabnya kita baik-baik saja tetapi sumber ini tidak akan kekal selama-lamanya. Kita perlu mempunyai perancangan ekonomi dengan segera," katanya dalam wawancara bersama portal FMT.

Eksport minyak dan gas Petronas menyumbang kepada pendapatan asing Petronas, manakala dividen, cukai serta royalti dibayar Petronas menyumbang kira-kira 25 peratus daripada hasil kerajaan Persekutuan.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, hutang negara tidak boleh dipandang ringan walaupun Malaysia kaya dengan sumber semula jadi.

Katanya, peningkatan hutang kerajaan adalah petanda kegagalan ekonomi seperti mana dialami Sri Lanka.

Beliau berkata, Sri Lanka gagal membayar hutang atau mengimport barangan keperluan asas, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan bahan bakar selepas Covid-19 meruntuhkan ekonomi negara yang bergantung kepada pelancongan itu.

Tahun lalu, Sri Lanka gagal membayar hutang luar negara berjumlah AS$51 bilion (RM226 bilion) dan kadar faedah AS$75 juta, dengan hanya memiliki AS$25 juta simpanan asing pada waktu itu.

Johari berkata, banyak negara termasuk Malaysia boleh berdepan masalah sama (seperti Sri Lanka) jika gagal menguruskan hutang dengan baik.

"Rizab kita tidak banyak. Negara pengeluar minyak mempunyai rizab yang besar, kita tidak," katanya.

Johari berkata, ekonomi Malaysia boleh lumpuh dan memberi kesan buruk terhadap generasi akan datang sekiranya hutang negara berjumlah RM1.5 trilion tidak dikawal dan defisit belanjawan berterusan.

Beliau berkata, antara kebimbangan terbesarnya ialah pengangguran berikutan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor swasta berbanding bilangan graduan baharu yang dikeluarkan setiap tahun.

"Sejak lima tahun lalu, kira-kira 300,000 orang secara purata lulus universiti, tetapi hanya 93,000 peluang pekerjaan sektor swasta berkemahiran tinggi ditawarkan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, ramai daripada graduan itu akhirnya bekerja di tempat tidak berkaitan dengan kelayakan masing-masing di sektor tidak formal, menceburi pekerjaan seperti penunggang penghantaran atau di gerai makanan.

"Jumlah penganggur meningkat daripada 1.3 juta pada 2018 kepada 1.8 juta pada 2022 manakal ada dua juta lagi dalam sektor tidak formal," katanya sambil menambah ia adalah kerugian besar kepada ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 8:38 PM