FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Nor Fazlina Abd Rahim dan Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bekalan telur ayam bagi gred A, B dan C masih berkurangan di Kelantan berikutan bekalan diterima tidak mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, setakat ini bekalan telur yang diterima tidak dapat menampung keperluan pengguna.

Katanya, ia disebabkan pemilik ladang telur menghantar bekalan yang kurang kepada pemborong berbanding permintaan tinggi dalam kalangan pembeli.

"Telur yang dibekalkan di negeri ini datang dari beberapa ladang di Perak, Melaka dan Pulau Pinang.

"Pemilik ladang lebih memilih menghasilkan telur ayam jenis Omega yang memberi keuntungan lebih tinggi.

"Jadi bekalan telur ayam Omega ada banyak, namun harganya tinggi berbanding gred A, B dan C yang di bawah kawalan kerajaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemborong juga mengakui mereka mendapat bekalan telur ayam yang sedikit berbanding dahulu menyebabkan bekalan cepat habis.

"Kita juga mengingatkan kepada peniaga supaya menjual harga telur ayam bagi gred A, B dan C di bawah harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

"Tahun lalu kita mengeluarkan 21 notis kepada peniaga yang didapati menjual telur dengan harga tinggi dan melebihi harga siling manakala tahun ini, tidak ada sebarang notis yang dikeluarkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, bekalan minyak masak bersubsidi bagi paket satu kilogram terkawal dan mencukupi untuk menampung keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:41 PM