Gambar hiasan
Gambar hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Masalah kekurangan pekerja asing akan dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan menerusi pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, kerajaan sentiasa prihatin untuk menyelesaikan isu keperluan tenaga kerja asing yang dalam keadaan amat terdesak.

"Disebabkan itu, kerajaan melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan kuota pekerja asing serta kelulusan penggajian bermula 17 Januari lalu sehingga 31 Mac depan.

"Ia membabitkan sektor kritikal seperti pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (subsektor restoran sahaja)," katanya ketika menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai usaha kerajaan mempercepat kemasukan pekerja asing di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sivakumar berkata, majikan di bawah lima sektor berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah modul FWe Approval.

Katanya, di bawah pelan itu, majikan yang memerlukan pekerja asing dibenar menggajikan mereka dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian dan kelayakan kuota dikenakan sebelum ini termasuk proses temuduga oleh Agensi Kawal Selia (AKS).

"Di samping itu, pengiklanan kekosongan jawatan di portal MyFuture Jobs juga dikecualikan berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Menurutnya, kementerian akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 11:53 AM