PEGAWAI imigresen yang ditahan reman kerana mesej WhatsApp mencurigakan. FOTO Ihsan SPRM.
PEGAWAI imigresen yang ditahan reman kerana mesej WhatsApp mencurigakan. FOTO Ihsan SPRM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman lima hari hingga 19 Februari bagi membantu siasatan penemuan mesej mencurigakan dalam WhatsApp telefon pintarnya.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali hari ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan pada 4.40 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber berkata, sebelum itu pada 10.15 pagi, sepasukan pegawai Unit Integriti JIM Sarawak melakukan pemeriksaan naziran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di Serian.

"Hasil daripada naziran ini, pasukan terbabit menjumpai satu perbualan di dalam Whatsapp telefon pintar suspek yang mencurigakan.

"Pengadu (pegawai Unit Integriti JIM) kemudian membawa suspek ke pejabat SPRM Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 12:55 PM