RoselanAb Malek


Bentong: Hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik, di sini dilanda kepala air dan banjir lumpur, hari ini.

Kejadian pada 6 petang itu menyebabkan banyak kenderaan yang melalui kawasan itu terkandas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Mohd Shafie Sulong berkata, tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang dipindahkan setakat 8.30 malam ini akibat kejadian berkenaan.

"Bagaimanapun laluan Bukit Tinggi-Janda Baik dan Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong berkata, Jalan Kuala Lumpur - Bentong (jalan lama) FT68 iaitu kira kira 100 meter ke simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan kerana tanah runtuh sepanjang 100 meter.

Menurut kenyataan itu, pengguna diminta menggunakan jalan alternatif iaitu Lebuhraya KL-Karak ke Janda Baik dari arah Bentong.

Katanya, kerja pemasangan papan tanda bagi penutupan laluan sedang dilakukan bagi memberi amaran kepada pengguna.

TANGKAP layar video tular kejadian kepala air di Bukit Tinggi dan Janda Baik.
TANGKAP layar video tular kejadian kepala air di Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 10:16 PM