DATUK Seri Nancy Shukri menyaksikan Azizul Annuar Adenan menyampaikan bantuan kepada peserta Program Wanita Bangkit@KPWKM di Lundu, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Seri Nancy Shukri menyaksikan Azizul Annuar Adenan menyampaikan bantuan kepada peserta Program Wanita Bangkit@KPWKM di Lundu, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2023 berikutan beberapa langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara langkah bakal diambil ialah menubuhkan jabatan khusus untuk menjaga kebajikan kanak-kanak serta mewujudkan pangkalan data berpusat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, ketika pembentangan belanjawan kerajaan terdahulu, KPWKM menerima peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM3.4 bilion dan jumlah itu dijangka lebih meningkat bagi belanjawan pada 24 Februari ini.

"Memang dalam belanjawan sebelum ini KPWKM menerima peruntukan terbesar, tetapi 70 peratus daripada RM3.4 bilion itu adalah untuk pembayaran bantuan kebajikan.

"Sebab itu, dalam belanjawan kali ini, kita sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan mengemukakan beberapa cadangan untuk meningkatkan efisiensi perkhidmatan antaranya mewujudkan jabatan baharu untuk kanak-kanak dan mewujudkan sistem pangkalan data berpusat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Latihan Salcra Kampung Bajo di Lundu, hari ini.

Nancy berkata, berikutan pembentukan sebuah jabatan baharu, maka lebih ramai pegawai dan kakitangan perlu ditambah sekali gus memerlukan peruntukan besar.

Katanya, pangkalan data berpusat pula bagi memudahkan maklumat mengenai semua aspek kebajikan disimpan di satu tempat.

"Sekarang ini ada pejabat kebajikan di tempat tertentu tidak mengetahui jumlah kanak-kanak mangsa kes rogol atau dera di tempat lain, jadi kita perlu menyimpan semua maklumat itu di dalam pangkalan data berpusat.

"Perkara itu juga sudah kita maklumkan dengan Kementerian Kewangan dan dijangka dimasukkan di dalam Belanjawan 2023," katanya.

Sementara itu mengenai Program Wanita Bangkit@KPWKM, Nancy berkata, ketika ini seramai 15,620 wanita seluruh negara menyertainya dan peningkatan 2,000 orang lagi menjelang Mac, yang menjadikan keseluruhan lebih 17,000 orang.

"Program itu bermanfaat untuk membantu mengeluarkan wanita dan keluarga mereka daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 2:20 PM