FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur pada waktu puncak bermula esok

Ia susulan gangguan perkhidmatan antara dua stesen, (LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek) akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid KL berkata, pemanjangan operasi waktu puncak adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, serta mereka dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah.

"Waktu puncak pagi akan dipanjangkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi.

"Manakala waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bagi melancarkan perjalanan dan pergerakan penumpang, Rapid KL akan menambah bilangan kakitangan sokongan berjumlah hampir 100 orang bagi mengawal dan membantu penumpang yang memerlukan bantuan di stesen-stesen rel.

"Inisiatif ini adalah komitmen Rapid KL dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna adalah sentiasa dalam tahap yang terbaik.

"Prasarana memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh penumpang dan amat menghargai sokongan dan kesabaran anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 8:39 PM