FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Sebanyak 36 unit mesin bitcoin dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Sitiawan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata serbuan itu dijalankan atas maklumat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan risikan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi elektrik.

"Kegiatan kes curi elektrik ini mula dikesan pada akhir Disember tahun lalu. Nilai kerugian akibat kegiatan terbabit masih dalam siasatan dan penilaian TNB.

"Setakat maklumat yang diterima, tiada masalah terhadap bekalan elektrik di kawasan sekitar rumah yang diserbu," kata Nor Omar ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membanteras kegiatan curi arus elektrik di dalam daerah Manjung.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 5:17 PM