Paya Linda Yahya

Gua Musang: Kira-kira 1,000 penduduk Pos Gob di sini, berdepan pelbagai kesukaran termasuk tidak dapat menghantar anak ke sekolah selepas cuti penggal ketiga akibat masalah jalan rosak.

Malah, penduduk mendakwa, rutin pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak dapat dilakukan kerana kakitangan KKM tidak dapat masuk ke perkampungan Orang Asli suku kaum Temiar sejak dua bulan lalu akibat masalah terbabit.

Selain itu, penduduk terpaksa meredah sungai untuk ke perkampungan bersebelahan bagi mendapatkan keperluan makanan daripada penduduk lain.

Penduduk Kampung Gob, Pos Gob, Rohani Adik, 32, berkata, keadaan jalan itu menyebabkan anaknya, Noraini Adi, 13, tidak dapat meneruskan sesi persekolahan selepas cuti penggal ketiga.

Katanya, dia risau sekiranya anaknya tidak dapat menghabiskan sesi persekolahan di tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

"Saya sangat risau memikirkan anak sulung yang akan mula belajar di tingkatan satu.

"Sehingga hari ini, anak masih belum dapat ke sekolah untuk menamatkan sekolah rendahnya kerana masalah jalan rosak," katanya ditemui di Kampung Gob.

KEADAAN jalan ke Perkampungan Gob, Pos Gob yang rosak menyebabkan penduduk terputus hubungan. FOTO Paya Linda Yahya
KEADAAN jalan ke Perkampungan Gob, Pos Gob yang rosak menyebabkan penduduk terputus hubungan. FOTO Paya Linda Yahya

Bagi Angah Asu, 65, sejak dua bulan lalu, dia terputus bekalan ubat kerana kakitangan KKM tidak dapat masuk ke kampung itu.

"Sebelum ini, hampir setiap bulan, kakitangan KKM akan datang dan melakukan rutin pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk.

"Namun, dua bulan lalu, mereka yang cuba masuk ke sini terpaksa berpatah balik sejurus tiba di Sungai Blaer kerana jalan rosak. Sejak itu, saya tidak mendapat bekalan ubat yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Tembaga, Pos Gob, Nordin Pandak, 55, berkata, akibat jalan rosak, dia terpaksa mengambil inisiatif menyeberangi sungai untuk ke Kampung Gob bagi mendapatkan bantuan makanan yang dihantar Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Ada penduduk menyeberangi sungai dengan motosikal untuk bergerak dari Kampung Tembaga ke Kampung Gob bagi mendapatkan sumber makanan dan ini menyebabkan motosikal kami mudah rosak.

"Saya pula terpaksa berjalan kaki menyeberangi sungai kerana motosikal sudah rosak untuk mendapatkan sumbangan makanan yang dihantar kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 1:36 PM