BARJOYAI Bardai. FOTO arkib NSTP
BARJOYAI Bardai. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dipertimbangkan bagi kumpulan yang terdesak memerlukan wang untuk melangsaikan hutang.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, jika semua orang mengeluarkan duit KWSP ia sudah tentu melanggar prinsip simpanan persaraan dan matlamat KWSP juga gagal dalam memainkan peranan mewujudkan wang simpanan persaraan untuk rakyat Malaysia.

"Namun, bagi pencarum yang memang terdesak terutama untuk mereka yang dibebani hutang, kemungkinan kerajaan boleh mempertimbangkan pencarum membuat pinjaman mudah bersandarkan baki simpanan wang dalam KWSP.

"Maknanya, wang itu bukan daripada KWSP tetapi diperoleh daripada TEKUN Nasional atau institusi kerajaan lain, tetapi KWSP dijadikan sebagai cagaran (wang caruman itu boleh diguna untuk bayar balik sekiranya pencarum tak dapat membayar semula).

"Bagaimanapun, cara ini tidak boleh dibuka kepada semua pencarum kerana kita perlu ingat matlamat KWSP adalah untuk menyediakan kumpulan pekerja ini pendapatan untuk bersara. Ia bukan simpanan biasa seperti simpanan dalam bank.

"Ini yang perlu diberi kefahaman kepada pencarum kerana mereka menyimpan di dalam KWSP untuk tabung persaraan disebabkan itu kerajaan memberi kemudahan tidak mencukai jumlah simpanan dan kerajaan juga memberi peraturan memerlukan majikan untuk menambah jumlah caruman yang sama setiap bulan sebagai tambahan simpanan pencarum.

"Jadi ini adalah kemudahan yang bukan dalam bentuk simpanan biasa di bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, terdapat 6.1 juta pencarum yang hanya mempunyai RM10,000 simpanan dan mereka ini sebenarnya bukan hanya babitkan golongan B40 atau M40, tetapi ini adalah baki berasaskan apa yang ada dalam simpanan pencarum dan apa yang berlaku sekarang ramai pencarum mengeluarkan wang sebelum ini (empat kali) sehingga baki tinggal bawah RM10,000.

"Bagi mereka ini, jika kita mengambil kira gaji bulanan mereka RM3,000, maknanya menjelang umur 50 tahun mereka akan ada simpanan persaraan hampir RM250,000 (dengan ambil kira 25 peratus caruman diambil daripada gaji). Jadi bila mereka membuat pengeluaran yang dibenarkan sebelum umur 50 tahun itu yang baki simpanan bawah RM10,000.

"Pada saya, untuk benarkan pengeluaran caruman sekali lagi memang saya tidak bersetuju, tetapi kalau kita boleh buat satu mekanisme cara 'topup' semula caruman yang dikeluarkan, misalnya pencarum dibenarkan keluarkan wang, tetapi selepas itu setiap bulan mereka perlu tingkatkan jumlah caruman berbanding biasa. Misalnya sebelum ini 11 peratus, selepas pengeluaran perlu 'topup' lebih daripada itu bagi beberapa tahun sehingga dapat mencukupi jumlah yang sudah diambil, itu mungkin boleh dipertimbangkan.

"Ini juga mungkin boleh jadi jalan tengah untuk membantu pencarum yang terdesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 5:09 PM