Aizat Sharif

Padang Besar: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis mematahkan cubaan menyeludup masuk 10.82 tan mercun dan bunga api bernilai lebih RM200,000 susulan pemeriksaan ke atas treler membawa muatan sabut kelapa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, rampasan susulan pemeriksaan pegawai Cawangan Penguatkuasaan JKDM Padang Besar dan Unit Dagangan Jalan Raya (UDJR) ke atas sebuah treler bernombor pendaftaran tempatan yang baharu tiba dari Thailand pada jam 5 petang.

Katanya, treler berkenaan dipandu oleh seorang lelaki tempatan dan berdasarkan pemeriksaan menerusi borang Kastam 1, anggota mendapati ia diikrarkan sebagai membawa 195 guni putih seberat 1,350 kilogram sabut kelapa.

"Namun begitu, pemeriksaan selanjutnya menerusi imbasan elektronik pada lori berkenaan menjumpai mercun dan bunga api pelbagai jenama yang dianggarkan seberat 10,824 kilogram dalam kotak dan dibalut dengan plastik hitam," katanya kepada pemberita di Pejabat JKDM Padang Besar di sini, hari ini.

Ismail (empat dari kanan) bersama pegawai Kastam Perlis yang lain menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas di Pejabat JKDM Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Ismail (empat dari kanan) bersama pegawai Kastam Perlis yang lain menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas di Pejabat JKDM Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF

Katanya, pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan turut menyita treler yang digunakan yang dianggarkan bernilai RM50,000.

"Nilai barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah sebanyak RM 143,530 dengan nilai cukai sebanyak RM 94,729.80," katanya.

Ismail berkata, pihaknya percaya bekalan mercun dan bunga api itu dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran di negeri bahagian Utara untuk menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pengimport yang terbabit dalam sindiket terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133(1)(a) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 4:16 PM