Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Suami isteri yang menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini ditahan di sebuah kediaman di sekitar Senai, Kulai pada operasi khas empat hari berakhir 2 pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan suami isteri berusia 34 dan 30 tahun itu hasil empat siri serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar Kulai serta Iskandar Puteri.

Katanya, operasi khas itu bermula Sabtu lalu susulan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bagi menangani sindiket pengedaran dadah membabitkan ganja, heroin dan ekstasi di bandar raya ini.

"Selain suami isteri itu yang juga dalang utama sindiket serta penjaga bekalan dadah, kami turut menahan 11 suspek membabitkan tujuh lelaki dan empat wanita berusia 24 hingga 55 tahun.

"Penahanan kesemua 13 suspek itu membawa kepada rampasan 74.85 kilogram (kg) ganja bernilai RM187,147, sebanyak 1,643 pil ekstasi bernilai RM26,645, 9.26kg heroin bernilai RM124,579 dan 171.0 gram ketamin bernilai RM25,650," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

KAMARUL Zaman menunjukkan barang rampasan hasil operasi khas bagi menangani sindiket pengedaran dadah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMARUL Zaman menunjukkan barang rampasan hasil operasi khas bagi menangani sindiket pengedaran dadah. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Menurut beliau, jumlah kesemua rampasan dadah adalah RM362,022.

Turut dirampas tujuh kereta, tiga motosikal dan pelbagai barang kemas bernilai RM319,950.

"Sindiket ini beroperasi sejak Oktober lalu dan mereka menjadikan rumah teres serta kenderaan sebagai stor simpanan dadah sebelum edaran.

"Semakan rekod mendapati, enam daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya.

Bagaimanapun, hasil saringan air kencing dijalankan mendapati kesemua 13 suspek negatif dadah.

"Hasil siasatan mendapati, sindiket ini dipercayai menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran di utara sebelum mengedarkannya di bandar raya ini.

"Kami masih menyiasat sama ada bekalan dadah ini dirancang untuk diseludup semula ke negara jiran lain.

"Dadah dirampas boleh digunakan kira-kira 150,000 penagih dadah di bandar raya ini," katanya.

Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek direman tujuh sehingga Sabtu ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:10 PM