Petugas media yang membuat liputan berteduh di khemah yang disediakan di luar pintu masuk Istana Seri Kinabalu pagi ini susulan pergolakan politik di Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
Petugas media yang membuat liputan berteduh di khemah yang disediakan di luar pintu masuk Istana Seri Kinabalu pagi ini susulan pergolakan politik di Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
BERNAMA

Kota Kinabalu: Istana Seri Kinabalu dan kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, hari ini, masih menjadi tumpuan terutama buat pengamal media Sabah berikutan situasi politik ketika ini.

Pengamal media dilihat berkumpul seawal 9 pagi di Istana Seri Kinabalu di sini, bagi memantau pergerakan pemimpin, namun sehingga berita ini ditulis tiada makluman rasmi untuk sebarang acara bagi liputan di istana itu.

Sri Gaya yang menjadi lokasi pertemuan pemimpin negeri terutama daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dilihat menjadi tumpuan dengan pengamal media dijangka berkumpul bagi mengetahui situasi politik semasa negeri.

Semalam, Hajiji mendakwa beliau sudah memperoleh sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah, antaranya daripada GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), justeru kerajaan Sabah masih kekal serta utuh, dan beliau masih Ketua Menteri pada masa ini.

Seramai 29 daripada 44 Adun adalah daripada GRS, manakala PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam menegaskan Kerajaan Sabah pada masa ini sudah tiada, dan jawatan Ketua Menteri disandang Hajiji sudah terlerai dengan tindakan BN Sabah menarik sokongan daripada kerajaan negeri, pada Jumaat lepas.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Sabah bagi membincangkan isu politik negeri ini sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia dijadual hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 10:31 AM