BEKALAN telur ayam jenis omega yang banyak didapati berbanding telur biasa di kedai runcit dan pasar raya di sekitar Kuantan. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
BEKALAN telur ayam jenis omega yang banyak didapati berbanding telur biasa di kedai runcit dan pasar raya di sekitar Kuantan. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


Kuantan: Bekalan telur ayam masih tidak stabil di sesetengah tempat di daerah ini.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya utama di sekitar Beserah, Sungai Karang, Balok, Semambu, Jaya Gading, Taman Tas, Felda Panching Selatan dan Kampung Padang menunjukkan peniaga dan pembekal telur ayam masih tidak mampu menampung permintaan pelanggan.

Kebanyakan mereka yang ditemui merungut bekalan telur gred A, B, C dan D, masih sukar diperoleh, malah ada kalanya rela beratur di kedai sementara menunggu bekalan telur sampai.

Pengusaha kek dan kuih muih, Samsiah Shamsuddin, 38, berkata, sudah tiga hari dia tidak mengambil tempahan kek kerana tiada bekalan telur ayam.

Menurutnya, dia perlukan antara 10 hingga 12 sarang (30 biji) seminggu untuk memenuhi permintaan pelanggan terutama tempahan kek.

"Namun, sejak kebelakangan ini, bekalan telur biasa memang sukar di peroleh di Balok. Nak dapatkan satu sarang (telur) pun susah kalau kita tidak tunggu stok sampai di kedai.

"Ada suri rumah yang sanggup menunggu apabila dapat tahu bekalan telur akan sampai, jika kebetulan mereka membeli barang di kedai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Samsiah berkata, ada pasar raya yang hadkan pembelian hanya satu sarang telur sahaja dan pengusaha kek sepertinya perlu mencari di beberapa kedai lain untuk mendapatkan bekalan mencukupi.

"Jika dilihat situasi sekarang, tidak mustahil masalah bekalan telur ayam akan berpanjangan selama beberapa bulan lagi, berkemungkinan sehingga menjelang Ramadan tahun ini," katanya.

Pemilik Emmy's Kitchen, Emyllia Diana Shaari, 36, berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya 20 sarang telur seminggu untuk pelbagai jenis masakan panas di kedainya di Kampung Padang.

"Memang susah nak dapatkan bekalan telur 30 biji satu sarang ketika ini tetapi saya agak bernasib baik kerana pasar raya tempat saya membeli barang niaga akan simpankan untuk saya setiap hari.

"Bagaimanapun, kalau stok tiada, saya terpaksa beli yang 15 biji sebekas dengan harga RM9.50 atau telur omega yang lebih mahal," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kekurangan bekalan telur di pasaran dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya enam bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 9:27 AM