Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tetap dengan pendirian untuk terus meminta Kerajaan Persekutuan meneliti formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh kerajaan negeri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan juga mempunyai formula berhubung perkara itu, beliau tetap mahu formula yang dikemukakan kerajaan negeri digunakan dalam penyelesaian isu berkaitan tuntutan hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini kerana katanya, formula yang disediakan kerajaan negeri itu lebih munasabah dan pragmatik serta adil kepada Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

"Fadillah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah diarahkan untuk mengemaskini isu tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap hak yang terkandung di dalam MA63 itu dalam tempoh sebulan (bermula 5 Disember 2022).

"Kami (di peringkat negeri) sudah berbincang dan memberikan kepada beliau (Fadillah) perkara yang harus diberi balik kepada Sarawak termasuk Perkara 112D berhubung pemberian khas dan difahamkan Kerajaan Persekutuan menyediakan formula sendiri tetapi saya bertegas, formula yang dirangka Sarawak harus digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kunjungan sempena perayaan Krismas di kediaman Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC, Stampin, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, formula yang disediakan oleh kerajaan Sarawak itu sudah dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal Tuntutan MA63 yang baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Biarlah mereka menilai formula itu tetapi saya tidak dapat mendedahkan kandungan penuh formula itu, namun ia dirangka berlandaskan hasil yang diperolehi Kerajaan Persekutuan daripada Sarawak misalnya stem hasil adalah dipungut Kerajaan Persekutuan walaupun ia adalah hasil urusan berasaskan kepada tanah menjadiaset Sarawak.

"Sehubungan itu, saya berharap mereka dapat memahami rasionalisasi formula kerajaan Sarawak itu yang adil kepada pusat dan negeri," katanya.

ABANG Johari (tiga kiri) mengadakan kunjungan sempena perayaan Krismas di kediaman Douglas. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari (tiga kiri) mengadakan kunjungan sempena perayaan Krismas di kediaman Douglas. FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 3:34 PM