NIE Ching diberi taklimat oleh Kamal di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) APM Johor. FOTO Farid Noh
NIE Ching diberi taklimat oleh Kamal di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) APM Johor. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan menafikan persepsi yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan menterinya tidak boleh menerima sebarang kritikan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, persepsi itu bukan sahaja tidak benar malah tidak berlaku.

Nie Ching turut menafikan dakwaan kononnya sesiapa yang bertindak mengkritik Perdana Menteri serta barisan menteri akan menerima tindakan tegas termasuk akaun media sosial mereka disekat selain diheret ke mahkamah.

"Saya tak tahu mengapa anggapan seperti ini (kerajaan tidak boleh dikritik) wujud kerana ia memang tak betul.

"Seperti Perdana Menteri nyatakan sebelum ini, beliau alu-alukan kritikan konstruktif. Beliau tidak pernah cakap tidak boleh kutuk dirinya, menteri atau timbalan menteri.

"Apa yang kita nak tegaskan di sini adalah bahawa kerajaan tak mahu sebarang ucapan kebencian kerana nak jaga sentimen keharmonian masyarakat.

"Kerajaan tak mahu apa-apa kenyataan yang melanggar undang-undang khasnya babitkan 3R - Race, Religion & Royalty (Kaum, Agama dan Raja-Raja). Itu juga adalah pesanan Perdana Menteri supaya tiada pihak mainkan isu 3R," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APM Johor, Kamal Mokhtar.

Mengulas lanjut tindakan Perdana Menteri mengambil tindakan mahkamah, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, ia adalah pilihan dan hak Anwar sebagai rakyat negara ini.

"Saya percaya kalau seseorang ahli politik termasuk Perdana Menteri, Menteri atau Timbalan Menteri merasakan mereka difitnah,mereka berhak bawa kes ke mahkamah. Itu adalah pilihan mereka sebagai rakyat.

"Malah rakyat biasa pun ada hak mengambil tindakan perundangan jika mereka difitnah," katanya.

Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, Anwar dilaporkan menyaman tiga individu dan kesemuanya adalah pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR mengambil tindakan perundangan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa membuat tuduhan palsu di dalam video kononnya beliau ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor telah membuat tuntutan sebanyak RM15 juta.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria disaman berhubung ucapannya yang mengaitkan Anwar dengan dakwaan membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Selain itu, Anwar turut memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hasim juga atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, setakat ini juga tiada mana-mana pengguna media sosial yang diheret ke mahkamah kerana mengkritik kerajaan Perpaduan.

Oleh itu katanya,dakwaan yang menyatakan kerajaan bertindak tegas ke atas pengguna media sosial yang mengkritik kerajaan, sebagai tidak benar dan hanya persepsi semata-mata.

"Namun jika ada mana-mana pengguna media sosial yang sebar informasi palsu, memang kerajaan serta agensi terbabit akan mengambil tindakan tegas dan segera kerana kita tidak mahu ia bahayakan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 2:27 PM