Ainal Marhaton Abd Ghani


Pekan: Dua beradik yang juga mangsa kemalangan jalan raya terharu apabila menerima sumbangan kerusi roda daripada kerajaan negeri sekali gus mampu memudahkan pergerakan mereka dalam urusan harian.

Mohd Zamrul Ismayudin Azhar, 17, berkata dia bersama adiknya Nur Aliyah Mardihah, 13, berjanji akan memanfaatkan pemberian itu sebaik mungkin.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin keadaan kami berdua dan lebih terharu kerana kami dapat seorang satu (kerusi roda).

"Kerusi roda ini akan memudahkan pergerakan kami di rumah dan ketika menjalani rawatan susulan di hospital," katanya.

Mohd Zamrul berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan disampaikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di rumahnya di Kampung Acheh, di sini, semalam.

Fakhruddin (kiri) menyampaikan kerusi roda dan sumbangan kepada Zamrul. FOTO  AINAL MARHATON ABD GHANI
Fakhruddin (kiri) menyampaikan kerusi roda dan sumbangan kepada Zamrul. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI

Pada masa sama, mereka turut menerima sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga untuk membuat rawatan susulan.

Pada 9 Disember lalu, dua beradik itu terbabit dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki melanggar belakang sebuah kenderaan yang membelok secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Akibat kemalangan itu, anak kedua serta ketiga daripada tiga beradik itu patah tulang paha dan menerima rawatan di Hospital Pekan selama seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:43 PM