Nurul Fatihah Sulaini


Besut : Seorang mangsa banjir terkejut apabila mendapati rumahnya bergerak 30 meter dari tapak asal selepas dibawa arus deras dalam kejadian banjir di Kampung La, pada Isnin lalu.

Azlan Mat Diah, 63, berkata, sepanjang kira-kira 30 tahun menetap di kampung berkenaan ini adalah kejadian banjir paling besar dan terburuk pernah dialaminya.

Katanya jika diikutkan hampir setiap tahun mereka terpaksa berpindah kerana rumahnya terletak berhampiran tebing sungai dan sering dilanda banjir.

"Pada tahun 2000 rumah kayu saya pernah terjatuh dan kedudukannya berpusing dari tempat asal kerana banjir tetapi kali ini rumah dihanyutkan arus hingga berganjak lari dari tempat asal," katanya ketika ditemui di Kampung La, di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian dia dan isteri Norma Abdullah, 54 serta anak lelaki berusia 24 tahun berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Saya dan mangsa banjir lain pindah pagi Ahad kerana air sungai melimpah dan paras air semakin pada hari Isnin hingga menghanyutkan rumah saya ke kawasan berhampiran.

"Saya sempat mengalihkan barang elektrik seperti peti ais, mesin basuh serta pakaian ke kawasan selamat kerana sering mengalami banjir," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Katanya, mereka berharap kerajaan dapat membantu mangsa banjir dengan bantuan sewajarnya.

AZLAN memeriksa keadaan rumahnya yang bergerak 30 meter dibawa arus deras di Kampung La, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
AZLAN memeriksa keadaan rumahnya yang bergerak 30 meter dibawa arus deras di Kampung La, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 6:42 PM