MOHD Asghar Khan beramah mesra dengan keluarga Leftenan Ilyana. FOTO  Noorazura Abdul Rahman
MOHD Asghar Khan beramah mesra dengan keluarga Leftenan Ilyana. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Apabila masuk ke dalam pesawat, saya bukan lagi seorang wanita tetapi tentera udara setanding kaum lelaki," kata Leftenan Ilyana Ibrahim, 26.

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini berkata, dia tidak pernah menjadikan jantinanya sebagai seorang wanita untuk menghalang daripada mengejar cita-citanya sejak kecil.

Katanya, dia sentiasa fokus dalam pelajaran dan menjadikan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai antara sumber inspirasi.

"Saya kagum dengan Dr Sheikh Muszaphar yang menjadi angkasawan pertama Malaysia.

"Dari situ, saya mula meminati perkara berkaitan aeroangkasa dan langit, apabila melihat kapal terbang di langit ia mendorong minat saya untuk menjadi juruterbang.

"Alhamdulillah, saya akhirnya dapat merealisasikan cita-cita ini dan syukur berjaya mencapai jumlah waktu penerbangan ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 di Kolej Tentera Udara, di sini, hari ini.

Ilyana yang berasal Johor Bahru, Johor adalah antara 30 pelatih kursus asas penerbangan pesawat kaku dan penerbangan helikopter yang menerima sayap penerbangan pada majlis berkenaan.

Graduan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini berkata, TUDM adalah jalan terbaik untuk dia mengejar cita-citanya yang lebih mencabar.

"Kalau saya jadi juruterbang pesawat komersial, saya hanya dapat menerbangkan pesawat dari satu lokasi ke satu lokasi saja, namun sebagai juruterbang TUDM, saya boleh belajar melakukan pelbagai perkara," katanya.

Sementara itu, graduan UPNM, Leftenan Mubin Mustaza Iskandar,26, berkata, dia tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) dan juga penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik).

Menurut anak bongsu dari tiga adik beradik ini, biar pun sibuk dengan tugasannya, dia tetap mengutamakan suruhan Allah dalam kehidupan.

"Ini antara kunci kejayaan saya meraih dua piala dan menjadi juruterbang TUDM.

"Alhamdulillah, saya berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan sejak kecil dengan melakukan semua perkara dengan terbaik walaupun berdepan cabaran dari segi pengurusan masa," katanya.

Mubin berkata, dia kini sudah belajar menerbangkan pesawat PC-7 Mk II dan berharap dapat membawa pesawat Shukoi pula suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 7:01 PM