TAPAK perkhemahan yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali beroperasi tanpa lesen. FOTO ihsan Bomba
TAPAK perkhemahan yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali beroperasi tanpa lesen. FOTO ihsan Bomba
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali, awal pagi tadi.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat sedih dengan tragedi itu dan mengharapkan seluruh ahli keluarga mangsa supaya bersabar dan tabah.

"Saya amat sedih apabila membaca berita ini dan berharap seluruh ahli keluarga mangsa-mangsa banyakkan bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi, hari ini.

Setakat 1 tengah hari tadi, 16 disahkan maut manakala 60 sudah diselamatkan dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor yang berlaku awal pagi tadi.

Kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran Father's Organic Farm dan menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan jalan berkenaan.

Runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan seluas tiga ekar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 4:13 PM